suria

Malaysia syor eksplorasi minyak dengan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Malaysia menyuarakan cadangan kepada kerajaan Brunei mengenai kemungkinan mengadakan eksplorasi minyak bersama di wilayah perairan kedua-dua negara.

Beliau berkata pihak Malaysia juga sedang mngkaji pelbagai aspek, termasuk peranan syarikat minyak negara, Petronas, yang akan dirangka dalam kerangka kerja yang terkandung dalam Pertukaran Watikah (LoEs) Malaysia-Brunei, yang merujuk kepada sempadan darat dan maritim kedua-dua negara.

"Saya tidak mahu perincikannya, tapi pihak Brunei sedar mengenai beberapa perkara yang diharapkan oleh pihak Malaysia agar dapat diambil kira oleh mereka," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke Brunei bagi menghadiri perbincangan tahunan kali ke-13 antara pemimpin kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata cadangan itu adalah antara perkaraperkara yang timbul ekoran termeterai LoEs pada 16 Mac lepas, di mana beliau bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengesahkan komitmen untuk bekerjasama ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang dipersetujui dalam dokumen itu.

"Yang penting ialah terdapat persetujuan asas dalam isu sempadan darat dan maritim, jadi sekarang keduadua negara boleh bergerak ke hadapan dan tidak membenarkan perkara itu menjadi penghalang kepada usaha membaiki lagi hubungan dua hala antara negara," katanya dan menambah kerja-kerja mengukur sempadan di atas tanah mungkin mengambil sedikit masa disebabkan kawasan sempadan antara negara yang cukup luas.

Merujuk kepada rancangan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, termasuk bidang tenaga, hidro, hub halal, perbankan islam, kelapa sawit dan sektor pelancongan, Najib berkata menteri-menteri kabinet yang berkenaan akan diberi tanggungjawab untuk berbincang mengenai perkara itu dengan rakan sejawatan dari Brunei, dan kemudiannya ia akan diselaras oleh Wisma Putra dan Menteri Luar Datuk Anifah Aman.

"Saya rasa ramai yang mahukan supaya ia dilaksanakan dengan segera, dan saya berharap apabila perbincangan berikutnya berlangsung di Malaysia, kedua-dua negara boleh berbincang mengenai lainlain perkara baru, jadi apa yang diharapkan ialah perkembangan yang pantas dan ia pasti akan menguntungkan," katanya.

Beliau yang menggambarkan lawatannya sebagai membawa ambang baru dari segi hubungan dua hala antara negara berkata, perbincangan tahunan empat mata itu mengetengahkan pelbagai aspek mengenai integrasi ekonomi, termasuk potensi pelaburan bagi pelabur Brunei di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), Koridor Pembangunan Sabah dan Iskandar Malaysia di Johor.

Beliau berkata Malaysia juga mempunyai peluang yang cerah untuk melabur di Brunei memandangkan banyak syarikatsyarikat Malaysia dilihat berdiri teguh dalam industri pembinaan, selain memiliki kemahiran dalam bidangbidang yang diperlukan, termasuk Teknologi Komunikasi Maklumat dan sektor perkhidmatan.

"Pada masa yang sama Brunei dan Malaysia sedang meneroka pasaran untuk pelaburan bersama di negara ketiga," katanya dan menambah pelancong dari Brunei menduduki tempat ketiga dari segi jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia ketika ini.

Dari perspektif hubungan antara rakyat, Najib berkata keduadua negara juga sedang mengkaji pasaran pelancongan, terutama dari Sarawak dan Sabah, melihat kepada potensi baik dalam pergerakan orang ramai, produk dan perkhidmatan.

Perdana Menteri berkata pelbagai cara sedang dikaji untuk memajukan sektor itu, termasuk usaha meninjau kekerapan penerbangan antara kedua negara, penggunaan lebih banyak kapal terbang lebih kecil, atau pengenalan perkhidmatan feri dan komunikasi darat yang lebih baik supaya konsep lebuhraya Pan Borneo dapat jadi kenyataan; semuanya akan dikaji dengan mendalam.

"Sudah tentu semua perkara ini, seperti usaha mengurangkan tempoh masa di tempat pemeriksaan untuk memasuki negara, akan membantu sektor pelancongan antara kedua-dua negara," katanya.

Najib berkata sebagai sebuah kerajaan, pemimpin-pemimpinnya perlu sentiasa mengkaji kebajikan orang ramai, dan usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat sentiasa diteruskan.

Terdahulu Najib bersama lapan menteri kabinet yang menganggotai delegasi Perdana Menteri ke Brunei, termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyertai Sultan Hassanal Bolkiah bersiarsiar dengan jalan kaki awal pagi, di Tasek Lama Resort Garden di sini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain