suria

Kerajaan pusat tidak ambil tindakan terhadap Ronnie Liu

SUBANG JAYA Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan mengambil tindakan terhadap Exco Selangor, Ronnie Liu yang menghalang pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tugas kerana ia adalah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.

Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kementerian hanya boleh campur tangan dalam hal ehwal PBT jika seseorang itu melakukan kesalahan melanggar Akta Kerajaan Tempatan.

"Persepsi orang ramai bahawa PBT ini dalam bidang kuasa kementerian tetapi sebenarnya PBT secara langsungnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan dewan baru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaa Cina Yak Chee di Puchong hari ini.

Kong berkata PBT sendiri bertanggungjawab atas pembentukan dan penguatkuasaan dasar, garis panduan dan undangundang kecil di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Saya berharap kerajaan Selangor dapat menyelesaikan masalah yang timbul secepat boleh," katanya ketika diminta mengulas tindakan Liu yang dilaporkan mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali secara terbuka mendesak Liu digugurkan sebagai Exco negeri kerana tindakan beliau telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam masyarakat Islam di negeri itu dan menjejaskan moral dan semangat kakitangan kerajaan menjalankan tugas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain