suria

Isu Jabatan Pengajian India: VC UM enggan ulas

PETALING JAYA: Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Ghauth Jasmon hari ini enggan mengulas isu penyelewengan terhadap urusan pemeriksaan tesis calon ijazah doktor falsafah (PhD) dan juga penganugerahan ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama pada jumlah yang sangat luar biasa di Jabatan Pengajian India universiti tersebut.

"Ini adalah perkara sulit dan saya tidak boleh dedahkan kepada sesiapa pun," katanya melalui kiriman e-mel yang dihantar kepada mStar Online.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai langkah-langkah yang akan diambil pihaknya bagi menyiasat kejadian itu.

mStar Online dan akhbar The Star semalam melaporkan mengenai penyelewengan yang berlaku terhadap pemeriksaan tesis calon ijazah doktor falsafah dan penganugerahan ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama pada jumlah yang sangat luar biasa di Jabatan Pengajian India UM.

Difahamkan, Dr Ghauth dalam laporan bertulisnya kepada Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini mendapati berlaku perkara-perkara tidak beretika dalam pengurusan pemeriksaan tesis calon PhD oleh pemeriksa luar daripada dua buah universiti dari India.

Beliau turut menyenaraikan lampiran statistik jumlah calon yang memperolehi ijazah sarjana muda di Jabatan Pengajian India pada jumlah yang tidak munasabah iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah calon yang dianugerahkan ijazah sejak sesi 2003/04.

Selain itu, jumlah kelulusan ijazah kelas pertama melebihi 64 peratus pada sesi 2006/07.

Artikel Berikut

Artikel Lain