suria

Inkues tegang, Gobind aju teori Teoh ditolak

Anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock, (dari kiri) bapanya Teoh Leong Hwee, abangnya Teoh Meng Kee, ibunya Teng Shuw Hor, tunangnya Soh Cher Wei dan adiknya Teoh Lee Lan beredar di Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini selepas mendengar inkues berhubung siasatan kematian Teoh pada 16 Julai lepas.--foto BERNAMA
Anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock, (dari kiri) bapanya Teoh Leong Hwee, abangnya Teoh Meng Kee, ibunya Teng Shuw Hor, tunangnya Soh Cher Wei dan adiknya Teoh Lee Lan beredar di Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini selepas mendengar inkues berhubung siasatan kematian Teoh pada 16 Julai lepas.--foto BERNAMA
Anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock, (dari kiri) bapanya Teoh Leong Hwee, abangnya Teoh Meng Kee, ibunya Teng Shuw Hor, tunangnya Soh Cher Wei dan adiknya Teoh Lee Lan beredar di Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini selepas mendengar inkues berhubung siasatan kematian Teoh pada 16 Julai lepas.--foto BERNAMA

SHAH ALAM: Inkues yang menyiasat punca kes kematian Teoh Beng Hock diberitahu bahawa tidak terdapat unsur alkohol atau dadah biasa dalam badan mendiang.

Saksi ketujuh iaitu Ahli Kimia dari Jabatan Kimia, Zaraiha Awang berkata, hasil analisisnya menunjukkan tidak terdapat apa-apa kandungan alkohol atau dadah biasa dalam darah, air kencing dan perut spesimen Teoh.

Katanya, ujian toksikologi dilakukan untuk mengetahui sama ada terdapat kesan racun atau sebarang bahan merbahaya ke atas spesimen biologi sama ada haiwan atau manusia.

"Hasil analisis saya mendapati tiada unsur ethanol, alkohol dan dadah biasa dalam spesimen itu," kata Zaraiha.

Dalam keterangannya Zaraiha berkata sampel kandungan perut yang diterimanya berwarna kecoklatan yang merupakan warna biasa bagi kandungan perut manusia yang tidak mengandungi sebarang unsur dadah atau racun.

"Kandungan perut boleh berubah warna jika mengandungi unsur dadah atau racun, contohnya warna kelabu, jika terminum racun perosak," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Dalam pada itu, suasana mahkamah menjadi tegang apabla Pendakwa Raya membantah soalan yang diajukan kepada saksi ketujuh oleh peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh mengenai sama ada beliau membuat kajian dengan mengambil kira kemungkinan lain menyebabkan kematian mendiang.

"Selain ujian untuk periksa dadah dan racun, adakah anda terfikir kemungkinan ada sebab-sebab lain kematian atau melakukan pemeriksaan lain?"

Zairaha: "Tidak, hanya ikut apa yang diminta pihak polis."

Gobind kemudiannya terus mengasak Zaraiha dengan bertanya sama ada beliau membuat pertimbangan mengenai sejarah kes yang diperiksanya.

Zairaha: "Dari borang polis yang diterima, saya dapati kes ini ialah kes jatuh dari bangunan tinggi. Saya ada tanya pada inspektor, beliau beritahu kes itu melibatkan seorang setiausaha politik... itu sahaja."

Gobind kemudiannya bertanya: "Ada baca surat khabar, tidakkah kamu tahu tentang persepsi masyarakat yang mengatakan beliau ditolak melalui laporan akhbar?"

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu mengendalikan prosiding itu membantah soalan Gobind dengan mengatakan saksi tidak boleh ditekan dengan soalan-soalan sedemikan sama ada si mati ditolak ataupun tdak.

Beliau membantah penggunaan perkataan 'ditolak' kerana ia merupakan hanya pandangan sebelah pihak.

"Kita tidak tahu sama ada Teoh telah ditolak ataupun tidak, ini adalah pandangan sebelah pihak sahaja.

"Tujuan inkues ini diadakan adalah untuk mencari kebenaran, saya tidak ada masalah sekiranya anda mengajukan soalan ini kepada pegawai SPRM tetapi saksi ini adalah ahli kimia, tolong berlaku adil kepadanya.

"Jangan bermain wayang di sini, tolong bataskan soalan anda berdasarkan peraturan."

Bantahan Tan itu turut dipersetujui oleh Koroner Azmil Muntapha Abas.

Gobind kemudiannya bertanya kepada Koroner Azmil: "Tuan koroner kami di sini untuk mencari kebenaran.

"Adakah tuan bermaksud saya tidak boleh mencadangkan teori saya, iaitu saya tidak boleh kata ditolak, jatuh.

"Bagaimana kita hendak meneruskan prosiding jika keadaan berterusan begini?"

Koroner kemudian segera menghentikan pertikaman lidah antara dua peguam itu dan mengingatkan semua pihak supaya mengajukan soalan yang relevan dan berkaitan dengan bidang tugas saksi sahaja.

Gobind kemudian bertanya kepada Zaraiha sama ada ahli kimia boleh membantu ahli patologi untuk menentukan masa kematian Teoh.

"Kalau dilihat secara fizikal keadaan mayat mungkin tidak boleh, tetapi jika spesimen diuji dan jika ada unsur dadah, kita boleh bantu memberitahu masa kematian," kata Zaraiha.

Artikel Berikut

Artikel Lain