suria

A(H1N1): Satu lagi kematian, 16 kes jangkitan tempatan dicatatkan

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat Influenza A (H1N1), membabitkan seorang pesara lelaki berusia 57 tahun yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya semalam, menjadikan jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 14 orang setakat pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mangsa yang menghidap penyakit diabetes dan hipertensi itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya Selasa lalu kerana mengalami demam, batuk dan sesak nafas.

"Kes telah disahkan jangkitan H1N1 pada 5 Ogos. Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos akibat Acute Pulmonary Oedema secondary to H1N1," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu Dr Mohd Ismail sekali lagi menegaskan mereka yang berisiko tinggi seperti ibu mengandung, menghidap penyakit paruparu, obesiti, asma, diabetes, imuniti rendah, sakit jantung dan sedang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana rawatan bagi H1N1 amat berkesan sekiranya dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas bermulanya gejala itu.

Sementara itu katanya, orang ramai yang hanya mengalami simptom influenza yang biasa dan tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi, tidak perlu panik dan tergesagesa menjalani ujian pengesahan H1N1 bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit itu.

Ini kerana menurutnya, kebanyakan kes H1N1 yang dihidapi oleh masyarakat di seluruh dunia akan mengalami simptom yang ringan dan 98 peratus daripadanya akan sembuh biar pun tidak diberi ubat yang tertentu.

"Pesakit yang mempunyai simptom ringan diminta berehat dan InsyaAllah dalam tiga atau empat hari akan sembuh. Selepas sembuh mereka akan dapat antibodi, jadi tak perlu untuk semua kes yang mengalami simptomsimptom ringan menjalani ujian H1N1," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai perlu memantau tahap kesihatan sendiri dan sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam yang berterusan, sakit dada, sesak nafas, kahak berdarah atau berlainan warna, kewarasan terganggu dan tekanan darah tinggi, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital.

Dr Mohd Ismail berkata ujian pengesahan H1N1 hanya akan dibuat untuk keskes yang dimasukkan ke wad dan mereka yang mempunyai risiko tinggi sahaja.

Katanya ini kerana Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang bertanggungjawab menjalankan ujian tersebut pada masa ini dibanjiri kira-kira 500 ujian sehari, namun 80 hingga 90 peratus daripadanya disahkan negatif.

"Jadi ini membebankan IMR dan merupakan pembaziran kerana kos ujian juga agak mahal," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata untuk kemudahan orang ramai, mulai esok semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan akan dibekalkan dengan ubat antiviral iaitu tamiflu manakala hospital dan klinik swasta boleh membeli ubat tersebut daripada pembekal tempatan.

Beliau mengingatkan pengamal perubatan agar tidak memberikan ubat itu sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan manakala pegawai farmasi tidak boleh menjual ubat tersebut tanpa preskripsi.

"Penggunaan tamiflu sebagai (rawatan) profilaksis (pencegahan atau perlindungan daripada penyakit) tidak akan berkesan dan ia satu pembaziran, malah kesan sampingan juga boleh dihasilkan, selain pembentukan tentangan terhadap tamiflu seperti yang berlaku di Amerika, Hong Kong, Mexico, Jepun, Denmark dan Kanada, yang boleh mendatangkan bahaya di mana sekiranya seseorang itu benarbenar dijangkiti H1N1, ubat itu tidak akan berkesan lagi," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata anggota perubatan kesihatan sama ada di sektor kerajaan atau swasta perlu mengambil langkahlangkah pencegahan dan memberi perhatian serius untuk mengawal jangkitan supaya mereka tidak dijangkiti penyakit tersebut.

Sehingga pagi ini, Dr Mohd Ismail berkata sejumlah 16 kes baru H1N1 dilaporkan dan semuanya kes jangkitan tempatan melibatkan warganegara Malaysia, di mana lima adalah kejadian daripada dua kluster baru dan 11 lagi adalah kes sporadik atau terpencil.

Katanya daripada 16 kes baru itu sembilan kes dirawat di wad manakala tujuh lagi menerima rawatan pesakit luar.

"Jumlah terkumpul kes H1N1 di negara ini sehingga pagi ini adalah sebanyak 1,492 kes, dengan 574 atau 38 peratus merupakan kes import dan baki 62 peratus adalah merupakan kes jangkitan tempatan.

"Daripada jumlah ini, 1,421 kes telah sembuh sementara bilangan kes yang masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 11 orang manakala 43 kes sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi," katanya.

Ditanya mengenai kes kematian akibat H1N1 yang dicatat di Depot Tahanan Imigresen Sepang, Dr Mohd Ismail berkata beliau masih menunggu laporan mengenainya dan satu pasukan akan dihantar untuk menyiasat perkara tersebut.

Mengenai situasi global, beliau berkata sejumlah 199,146 kes dengan 1,446 kematian telah dilaporkan daripada 171 negara, iaitu peningkatan sebanyak 5,460 kes dengan 85 kematian berbanding hari sebelumnya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain