suria

RazakSAT operasi sepenuhnya menjelang Oktober

PETALING JAYA: Satelit kedua negara, RazakSAT yang dilancarkan bulan lalu akan dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa dua bulan lagi, sekali gus memberi faedah besar kepada negara.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, selain pulangan daripada penjualan imej yang diambil satelit tersebut kepada negara-negara yang berminat, Malaysia juga dapat menggunakannya untuk membangunkan pelbagai bidang dalam negara ini.

"Setakat ini telah ada negara yang mendaftar berminat untuk membelinya iaitu negara-negara di rantau Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

"Namun kita bukan hanya lihat dari segi wang tetapi juga daripada pembangunan modal insan dan sumbangan kepada pelbagai sektor termasuk metereologi dan 'profiling' yang mana kita akan mendapat gambaran seluruh Malaysia.

"'Profiling' contohnya akan menyumbang kepada perancangan bandar, memantau pembalakan haram di hutan, pemantauan sempadan, pembakaran terbuka, aspek keselamatan dan membantu nelayan mengesan kawasan laut yang mempunyai banyak plankton," kata beliau selepas menutup Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, RazakSAT kini sedang dalam tempoh pelarasan yang mengambil masa tiga bulan selepas dilancarkan.

"Bila dilancarkan, kita dalam perancangan penyelarasan, maknanya ada peringkat-peringkat.

"Kita kena buka sayap solar, kemudian mengaktifkan semua komponen komputer untuk tujuan perhubungan dan akhir sekali, penyelarasan kamera untuk mendapatkan imej yang cantik dan jelas," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain