suria

Polis tahan sembilan suspek pengedar dadah

KUANTAN: Polis Pahang menahan lima lelaki dan empat wanita termasuk seorang pelajar sekolah yang disyaki anggota sebuah sindiket pengedaran dadah di pantai timur negara dalam satu operasi bersepadu hujung minggu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Pemangku DSP S. Xavier berkata polis turut merampas tujuh kereta termasuk sebuah kereta jenis BMW yang dipercayai digunakan anggota sindiket itu.

Beliau berkata serbuan pertama membabitkan penahanan seorang lelaki di sekitar kawasan sebuah hotel di Cherating pada kira-kira pukul 8 malam Sabtu lepas, hasil maklumat orang awam.

"Selepas diperiksa polis menemui 100 gram dadah jenis syabu yang bernilai RM70,000 dalam sebuah beg yang dijinjing lelaki itu, dan hasil soal siasat polis kemudian menyerbu sebuah bilik di hotel yang sama dan menahan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket terbabit, dan merampas wang tunai RM4,000," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya susulan penahan keduadua lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Buyung, Cukai, Terengganu dan menahan seorang lelaki dan dua wanita termasuk seorang pelajar perempuan tingkatan empat dalam rumah berkenaan.

Xavier berkata polis kemudiannya menahan seorang lagi wanita di kawasan berhampiran Taman Si Buyung sebelum menahan sepasang suami isteri di sebuah hotel di Cherating dan seorang lagi lelaki di Paka, Terenganu.

Beliau berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek yang berumur antara 16 dan 30 tahun itu ditahan reman sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain