suria

Kaji ISA secara menyeluruh, kata Abdullah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta supaya kerajaan mengkaji secara menyeluruh keperluan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana Malaysia masih memerlukan suatu mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan dan kebaikan negara.

"Yang penting sekarang ini, adalah bagaimana hendak melaksanakannya. Itu yang perlu difikirkan.

"Alangalang hendak kaji, kajilah secara menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sains Solat di Dewan Muktamar Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji semula Akta itu.

Mengenai pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), beliau menyambut baik langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projekprojek yang akan dilaksanakan di kawasan Pantai Timur itu semalam. Beliau berkata projek-projek berkenaan telah pun ada dalam pelan perancangan dengan mengambil kira kawasan yang strategik dan keperluan-keperluan di kawasan tertentu.

Perdana Menteri semalam melancarkan Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) dan Agropolitan Pekan di Runchang, yang dijangka membuka 22,000 peluang pekerjaan baru dan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang tahun 2020.

Abdullah berkata pembangunan di lima wilayah ekonomi yang telah dilancarkan sebelum ini tidak memerlukan tempoh masa tertentu sebaliknya akan berterusan.

"Ia akan ambil masa. Koridor ini bukanlah satu projek yang telah ditetapkan masanya dalam lima tahun, tiga tahun atau 10 tahun akan selesai.

"Pembangunan adalah berterusan kerana matlamatnya adalah untuk mengimbangi pengagihan peluangpeluang pelaburan dan industri secara menyeluruh, bukan sahaja tertumpu di kawasan Lembah Klang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah meminta supaya jangan ada pihak yang menganggap sebarang penyelidikan berkaitan ibadat orang Islam sebagai satu bentuk untuk menentang agama itu.

Sebaliknya, beliau berkata hasil penyelidikan yang diperoleh boleh dimanfaatkan oleh orang Islam di negara ini serta negaranegara Islam yang lain.

"Setiap amalan yang dilakukan perlu difahami dan ia perlukan pengetahuan. Apabila kita faham, barulah datang iman yang kukuh serta peroleh keberkatan.

"Ini adalah falsafah sebenarnya di sebalik penyelidikan yang dijalankan dan ia amat baik," katanya.

Pada perasmian ini, Abdullah turut melancarkan tiga buku hasil daripada kajian penyelidik bioperubatan tempatan mengenai sains solat dan perubatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain