suria

Inkues kematian Teoh disambung hari ini

PETALING JAYA: Inkues untuk mengetahui punca kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, disambung hari ini dengan peguam yang mewakili keluarga mendiang sudah bersedia untuk meneruskan prosiding.

Peguam Gobind Singh Deo ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya telah meneliti semua dokumen termasuk laporan DNA, bedah siasat dan forensik Teoh, gambar-gambar tempat kejadian dan gambar rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) yang dibekalkan pihak pendakwaan minggu lalu dan akan meneruskan prosiding inkues tersebut esok.

"Kita telah meneliti dokumen-dokumen itu dan mendapatkan pandangan pakar. Kita akan meneruskan prosiding inkues itu hari ini.

"Tiada permohonan lain lagi yang akan dikemukakan hari ini," kata beliau.

Bagaimanapun, Gobind berkata, pihaknya masih menunggu salinan kenyataan saksi-saksi dan laporan akhir DNA daripada pihak pendakwaan.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret menangguhkan inkues atas permintaan peguam keluarga Teoh dan peguam kepada kerajaan negeri Selangor kerana pihak mereka memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen yang dibekalkan oleh pihak pendakwaan pada hari tersebut.

Koroner Azmil Muntapha Abas akan turut membuat keputusan berhubung permohonan peguam keluarga Teoh untuk mendapatkan salinan kenyataan saksi-saksi esok dibantah oleh pihak pendakwaan Rabu lalu.

Teoh, 30, Setiausaha Politik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati terjatuh dari bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, 16 Julai lalu selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor.

Selain Gobind, peguam lain yang mewakili keluarga Teoh adalah Karpal Singh, Ram Karpal dan Sankara Nair.

Sementara itu, peguam yang dilantik mewakili kerajaan adalah peguam bela dan peguam cara Tan Hock Chuan dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Idham Abdul Ghani dan Justin Wee daripada pejabat Peguam Negara.

Kerajaan negeri Selangor pula diwakili empat peguam iaitu Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah, Sreekanth Pillai dan Asmah Yunos.

Seramai 12 peguam daripada Majlis Peguam akan turut mengikuti prosiding inkues ini sebagai peguam pemerhati.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, beberapa saksi yang telah disepina sebelum ini dijangka akan hadir untuk memberikan keterangan di hadapan Koroner Azmil.

Antara saksi yang dijangka akan dipanggil esok ialah pengawal keselamatan yang menemui mayat mendiang Teoh dan ahli patologi, sementara pakar forensik dan lebih 20 anggota dan pegawai SPRM pula dijangka akan mula memberikan keterangan mereka pada Jumaat atau Isnin depan. Seramai 77 saksi telah disepina untuk memberikan keterangan dalam prosiding itu yang ditetapkan pendengarannya selama 15 hari.

Artikel Berikut

Artikel Lain