suria

Polis temui 2 pistol, 55 butir peluru yang dicuri

BESUT: Polis menahan tiga lelaki dan berjaya menemui semula dua pucuk pistol dan 55 butir peluru hidup yang dilaporkan hilang dari dari bilik kebal sebuah premis menjual senjata api berlesen di Alor Lintang di sini pada 26 Julai lepas.

Misteri kehilangan senjata itu terjawab apabila polis menahan dua lelaki di sebuah kawasan perumahan di sini malam tadi dan seorang lagi lelaki di Kota Bharu, Kelantan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt. Kamaruddin Mohd Zakaria berkata polis menemui sepucuk pistol jenis Barreta .32 bersama lima butir peluru dibungkus dan ditanam dekat sebuah kawasan perumahan di Tok Fakir di sini semalam.

Katanya hasil siasatan terhadap dua suspek itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol pelepas (sports pistol) bersama 50 butir peluru ditanam di kawasan kediaman seorang tukang rumah di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu.

Menurutnya, hasil maklumat awam pada pukul 7.45 malam tadi, sepasukan polis diketuai Cif/Insp Khazahari Amat dan Insp Norman A. Ghani telah menahan dua suspek berhampiran sebuah kawasan perumahan dekat Kampung Raja di sini.

Katanya hasil soal siasat, kedua-dua suspek, yang menganggur serta mempunyai rekod jenayah lampau, telah membawa pasukan polis ke satu kawasan dekat sebuah taman perumahan di Tok Fakir dan menemui senjata berkenaan ditanam di kawasan itu.

Kamaruddin berkata kemudian suspek membawa polis ke Kota Bharu hari ini dan menahan suspek ketiga, seorang tukang rumah. Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30an.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Akta Senjata Api 1960.

"Kita percaya suspek telah menyimpan kedua-dua pistol dan peluru yang dicuri itu untuk dijual kepada pembeli yang berminat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain