suria

Operasi merobohkan Kg Buah Pala ditangguh lagi

PULAU PINANG: Operasi meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala yang sepatutnya diadakan hari ini sekali lagi ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perbincangan dengan penduduk kampung berkenaan berhubung penyelesaian yang sedang diusahakan.

Timbalan Ketua Menteri II, P.Ramasamy yang mengumumkan perkara itu, berkata kerajaan negeri telah mengaturkan satu perbincangan antara penduduk kampung dan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kami juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk pada pukul 7.30 malam ini di Komtar bagi membincangkan satu draf penyelesaian yang sedang dirangka," katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk Kampung Buah Pala di sini hari ini.

Pada pertemuan pagi tadi, penduduk kampung itu membidas Ramasamy kerana kegagalan kerajaan negeri bertindak pantas menyelesaikan masalah berkenaan.

Sejak 6 pagi tadi, seramai 200 orang yang memakai kemeja-T berkumpul di kampung itu untuk memberi sokongan kepada penduduk di situ, dan ada yang duduk di tengah jalan utama menghala ke kampung itu bagi menghalang kerja meroboh itu. Turut kelihatan di kampung itu ialah anggota polis dan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C Tharmaraj, berkata penduduk kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang asyik menangguhkan keputusan berhubung jalan penyelesaian kawasan berkenaan.

"Ini seolah-olah kerajaan negeri cuba sembunyikan sesuatu berhubung perkara ini daripada penduduk kampung. Kenapa sampai sekarang ini Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak menggunakan kuasa eksekutifnya untuk bagi balik tanah kami ini," katanya.

Tharmaraj berkata penduduk kampung juga mahu lima pemimpin kaum India yang sedang memerintah di negeri ini meletak jawatan kerana gagal membantu masyarakat India terutama penduduk Kampung Buah Pala.

Penduduk Kampung Buah Pala sepatutnya mengosongkan kediaman mereka semalam selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemilik tanah itu, Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan notis kepada penduduk supaya mengosongkan tanah itu sebelum 3 Ogos ini bagi membolehkan pemaju memulakan kerja pembangunan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain