suria

Kematian Teoh: Suruhanjaya Diraja hanya selepas selesai inkues

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Suruhanjaya Diraja bagi Mengkaji Peraturan Soal Siasat yang digunapakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan bermula selepas selesainya proses inkues kematian Teoh Beng Hock.

Beliau berkata, inkues berhubung kematian Teoh masih berjalan dan semua pihak perlu menunggu hasil inkues itu terlebih dahulu.

Teoh, 30, setiausaha politik seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut 16 Julai lepas.

Teoh merupakan antara saksi yang dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan SPRM berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

"Kita kena melalui inkues dulu, sebab inkues ini akan mengenal pasti punca kematian, dan selepas itu Suruhanjaya Diraja akan melihat kepada prosedur yang diamalkan oleh MACC atau SPRM dan ambil kira apaapa keputusan inkues dulu, jadi urutannya kena betul, kita kena inkues dulu," kata beliau selepas melancarkan Zon Ekonomi Khas, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan projek Agropolitan Pekan, di Runchang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai Suruhanjaya Diraja itu.

Baru-baru ini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, ahli-ahli yang akan menganggotai suruhanjaya itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada 22 Julai lepas, Najib berkata Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan bagi mengkaji peraturan soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM semasa melakukan soal siasat terhadap mendiang Teoh.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam berhubung sebahagian individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu lepas telah diupah oleh pihak tertentu, Najib berkata pihak polis sedang menyiasat mengenai dakwaan itu.

"Mungkin ada, tapi maknanya kita kena minta polis siasat perkara ini, siasatan sedang dilakukan pihak polis.

"(Berkenaan tindakan itu) terpulang kepada pihak polis, (pihak polis perlu) melihat kepada undang-undang negara, (dan) dah ada (undang-undang berkaitan), tengok kepada sejauh mana pembabitan mereka yang disabitkan kesalahan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain