suria

Jumaat tarikh baru penduduk Kg. Buah Pala pindah

PULAU PINANG: Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh baru untuk penduduk di situ berpindah dari kediaman masing-masing. Pengarah eksekutifnya, Thomas Chan berkata, beliau bersetuju dengan permintaan kerajaan negeri untuk melanjutkan tarikh merobohkan rumah di situ sehingga Jumaat ini. "Mana-mana penduduk yang mahu mendapatkan ganti rugi perlu berunding dengan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Satu mesyuarat dijadual diadakan antara penduduk terlibat dan kerajaan negeri malam ini.

Chan juga berkata, tidak perintah mahkamah dikeluarkan untuk menghalang pemaju daripada merobohkan perkampungan tersebut.

"Kami pasti bahawa kerajaan negeri tidak memfailkan sebarang injunksi atau sebarang perintah mahkamah untuk menghalang kami daripada merobohkan kampung tersebut" katanya.

Chan juga berkata dalam isu itu, tidak ada situasi "menang-menang".

"Satu pihak kena menang, satu pihak lagi kena kalah," katanya.

Rumah 23 keluarga di situ sepatutnya dirobohkan semalam tetapi dilanjutkan he hari ini setelah penduduk di situ gagal dalam rayuan mereka menghalang pemilik tanah berkenaan, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, daripada membangunkannya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain