suria

Polis Thai tahan lelaki Malaysia edar dadah sintetik

BANGKOK: Sejak sembilan bulan lepas, seorang pengurus pemasaran sebuah agensi pekerja asing di Malaysia menyewa sebuah unit kondominum mewah di ibu negara ini dengan alasan mengeksport pakaian berjenama ke negara asal.

Ramai peniaga berkunjung ke unit mewah yang disewa dengan harga 70,000 bath (RM7,200) sebulan itu di Jalan Sathorn di sini untuk menemui ahli perniagaan dari Malaysia itu.

Apabila sepasukan anggota polis menyerbu unit kondominum itu barubaru ini, mereka tidak menemui sebarang pakaian jenama dalam rumah berkenaan tetapi sebaliknya dadah sintetik yang diseludup dari Malaysia.

Seorang jurucakap polis dari Balai Polis Thungmahamek di sini berkata lelaki bujang berusia 40 tahun itu menginap di kondomium itu sejak November lepas dan sering berulang alik antara Malaysia dan Thailand.

Bagaimanapun, katanya, jenis dan nilai rampasan dadah berkenaan belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan kimia.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awam, pihaknya telah menyerbu unit kondomium berkenaan dan menemui sejumlah dadah sintetik yang siap dibungkus untuk dijual kepada pengedar di sini.

"Lelaki berkenaan tinggal seorang dan menimbulkan syak apabila ramai pelawat berbilang warganegara sering mengunjunginya," katanya.

Jurucakap tersebut berkata lelaki tersebut masih dalam tahanan selepas mahkamah menolak permohonan ikat jamin oleh keluarga suspek.

Bulan lepas, polis Thailand menahan tiga lelaki Malaysia di pekan Golok, Narathiwat dan merampas 100 gram dadah jenis methamphetamine dan ketamine serta hampir 5,000 pil nimetazepam bernilai 200,000 bath (RM21,000). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain