suria

Polis tahan empat lelaki curi kereta mewah

IPOH: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri kereta mewah dalam dua kejadian berasingan di bandaraya ini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata kesemua lelaki itu ditahan di sekitar bandaraya ini selepas polis menerima laporan daripada mangsa serta dilihat dalam keadaan mencurgiakan oleh anggota kereta peronda.

Dalam kejadian pertama pukul 1.10 pagi ini di Jalan Musa Aziz di sini, polis memberkas dua lelaki yang melarikan sebuah kereta BMW yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya di Kepong, Selangor semalam, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azisman berkata ketika kejadian mangsa yang sedang makan di sebuah restoran di Bukit Maluri, Kepong, didatangi dua lelaki yang merompaknya serta melarikan wang tunai RM1,000, telefon bimbit RM1,500 serta dompet dan beberapa dokumen penting.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam tadi, mangsa turut dicederakan, sebelum kedua-dua suspek melarikan keretanya ke sini, katanya.

Mangsa berusia 20an kemudian bertindak membuat laporan polis.

Beliau berkata berikutan laporan tersebut, polis dengan lapan anggota kereta peronda berjaya mengesan serta memberkas dua suspek di lampu isyarat di Jalan Musa Aziz di sini dalam tempoh 15 minit.

Keduadua suspek berusia berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan hasil siasatan keduadua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, katanya.

Sementara itu dalam kejadian pada pukul 4 pagi tadi polis menahan dua lelaki di Bercham di sini kerana didapati dalam keadaan mencurigakan ketika memandu sebuah kereta jenis Toyota Camry dan apabila anggota peronda polis cuba menahan, pemandu terbabit memecutkan keretanya.

Azisman berkata anggota peronda itu kemudian bertindak mengejar mereka dengan bantuan tiga buah kereta peronda dan berjaya menahannya di Lebuh Bercham Selatan berhampiran Taman Syabas Baru Bercham, selepas mengejar selama 40 minit.

Ketika mengejar kereta Toyota Camry itu, kereta peronda polis turut mengalami kerosakan akibat digesel oleh kereta yang dipandu suspek berkenaan.

Hasil siasatan kereta berkenaan adalah kereta curi yang mengunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang oleh pemiliknya yang tinggal di Taman Lapangan Ria, Gunung Rapat di sini pada 26 Jun lepas.

Polis turut menemui beberapa peralatan curi antaranya pengumpil, kuku kambing, batang besi, selain barang curi sebuah komputer riba.

Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20an turut mempunyai rekod jenayah kesalahan lampau dan ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain