suria

Penjual kereta terpakai bebas tuduhan edar dadah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang penjual kereta terpakai daripada tuduhan mengedar dadah heroin dan monoacetylmorphines seberat 28.2 gram, lapan tahun lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam (she) membuat keputusan itu setelah berpuas hati bahawa tertuduh, Jazri Johari berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh tanpa sebarang keraguan munasabah dan oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan," katanya.

Jazri, 35, yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang sejurus mahkamah membuat keputusan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa Kunyalam sementara Jazri diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang dibantu peguam Badrul Munir Mohd Bukhari.

Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan dua orang saksi.

Jazri didakwa mengedar dadah heroin seberat 20.5 gram dan monoacetylmorphines seberat 7.7 gram di hadapan UTO Sdn Bhd, Jalan SD 7/3A, Bukit Damansara, Sungai Buloh, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira pukul 7.45 malam, 5 Dis 2001.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain