suria

NC UM berang staf akademik Jabatan Pengajian India bertengkar di depannya

ISU PANAS... Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam disambut Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon (kanan) ketika menghadiri mesyuarat mengenai pelantikan Ketua Jabatan Pengajian India di universiti itu pada 30 Julai lalu. -- fotoBERNAMA
ISU PANAS... Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam disambut Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon (kanan) ketika menghadiri mesyuarat mengenai pelantikan Ketua Jabatan Pengajian India di universiti itu pada 30 Julai lalu. -- fotoBERNAMA
ISU PANAS... Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam disambut Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon (kanan) ketika menghadiri mesyuarat mengenai pelantikan Ketua Jabatan Pengajian India di universiti itu pada 30 Julai lalu. -- fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Pertengkaran dan pertikaman lidah di hadapan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada 27 Mei lalu di antara staf akademik Jabatan Pengajian India, Fakulti Sastera dan Sains Sosial berhubung siapa yang lebih layak menerajui jabatan itu adalah punca utama mengapa seorang profesor bukan keturunan India dilantik sebagai pemangku ketua jabatan berkenaan baru-baru ini.

mStar Online difahamkan, ekoran kejadian itu juga, Ghauth Jasmon telah mengarahkan pejabat pendaftar untuk segera menguruskan pengambilan staf akademik tambahan untuk Jabatan Pengajian India dengan mengiklankannya agar dapat menarik minat para akademik yang lebih berpengalaman serta berkemampuan dari segi pencapaian akademik dan kepimpinan.

Insiden pertengkaran yang sangat memalukan itu terkandung di dalam laporan yang disediakan oleh pejabat Naib Canselor UM kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada 30 Julai lalu.

Sebuah nota kabinet berhubung isu dan kekecohan tersebut kini sedang disiapkan oleh pihak kementerian untuk diedarkan untuk makluman jemaah menteri yang akan bermesyuarat Rabu ini.

Akhbar The Star dalam laporannya Jumaat lalu telah memetik Ghauth Jasmon sebagai berkata, universiti itu akan melantik ketua Jabatan Pengajian India yang baru dalam tempoh tiga bulan lagi bagi menggantikan Profesor Madya Dr S. Kumaran yang bersara.

Tetapi ia tidak menyatakan kenapakah jawatan tersebut terpaksa dipangku buat sementara waktu oleh seorang profesor bukan keturunan India yang selama ini menjadi tradisi jabatan berkenaan.

Isu mengenai kekecohan pelantikan ketua jabatan yang baru timbul apabila MIC membantah pelantikan Profesor Mohammad Raduan Mohd Ariff sebagai pemangku untuk satu tempoh yang belum ditetapkan.

MIC menerusi Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendesak supaya UM meneruskan tradisi melantik ketua jabatan berkenaan dari kalangan pensyarah keturunan India.

Bagaimanapun, mStar Online difahamkan, Ghauth Jasmon dalam laporan lengkapnya berhubung isu tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi telah menyatakan bahawa pada 27 Mei yang lalu beliau sendiri telah melakukan lawatan ke jabatan berkenaan dan dalam pertemuan bersama pensyarah dan kakitangannya, mereka telah bertengkar dan bertikam lidah sesama sendiri di hadapan naib canselor berhubung siapa yang layak menerajui jabatan berkenaan.

"Jabatan Pengajian India UM mempunyai lapan kakitangan akademik dan mereka terbahagi kepada dua kumpulan yang saling tidak bersefahaman dan ini telah menimbulkan masalah besar kepada pejabat naib canselor untuk melantik ketua jabatan yang baru dan boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak," kata sumber tersebut kepada mStar Online.

mStar Online juga difahamkan, Ghauth Jasmon di dalam laporannya kepada Menteri Pengajian Tinggi secara nyata menerangkan bahawa ketika beliau membuat keputusan untuk melantik Profesor Mohammad Raduan sebagai pemangku ketua, beliau turut memberi arahan kepada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Profesor Mohammad Redzuan Othman serta Profesor Mohammad sendiri supaya segera membetulkan sistem akademik di Jabatan Pengajian India "untuk memastikan perkara-perkara yang tidak beretika tidak berlaku lagi."

Ghauth Jasmon juga telah mengarahkan pihak dekan dan pemangku ketua jabatan supaya memikirkan bagaimanakah Jabatan Pengajian India boleh dikembangkan lagi sebagai langkah untuk memajukan program akademik dan kegiatan penyelidikan.

"Perkara ini sedang dilakukan sekarang dan dijangka siap dalam masa satu atau dua bulan lagi," kata sumber tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain