suria

Mahkamah benar tujuh Majlis Agama Islam jadi pencelah

KUALA LUMPUR Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan tujuh Majlis Agama Islam Negeri dan sebuah persatuan menjadi pencelah dalam permohonan baru Gereja Roman Katholik untuk semakan kehakiman mengenai penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan mingguannya.

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan alasan kesemua pihak itu mempunyai kepentingan undangundang. Pihak pencelah itu terdiri Majlis Agama Islam Negeri dari Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka selain Persatuan Cina Muslim Malaysia.

Bagaimanapun permohonan Majlis Gurdwara Malaysia untuk turut mencelah ditolak.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Mohd Said memberitahu pemberita ia ditolak kerana majlis itu tidak berkepentingan seperti yang lain.

Pada 16 Feb lalu, Ketua Biskop Gereja Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan baru untuk semakan kehakiman selepas permohonan semakan kehakiman pada 2008 menjadi akademik berikutan permit penerbitan 'The Herald' bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2008, telah luput.

Dalam permohonan itu, Pakiam, sebagai penerbit 'The Herald', menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam tindakannya menuntut perisytiharaan bahawa keputusan responden bertarikh 7 Jan, 2009, melarang beliau daripada menggunakan perkataan "Allah" dalam 'HeraldThe Catholic Weekly' adalah haram.

Pakiam juga menuntut satu perisytiharaan bahawa beliau berhak menggunakan perkataan 'Allah" dan perkataan tersebut bukan eksklusif untuk agama Islam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain