suria

Hasutan: Kes Uthayakumar didengar 28 September

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen hari ini menegur peguam bela P. Uthayakumar selepas mahkamah dimaklumkan bahawa peguam itu masih menjalani rawatan komplikasi jantungnya di London.

Hakim Sabariah Othman memberitahu peguam bela N. Surendran bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur lagi bagi sebarang kelewatan untuk perbicaraan itu.

"Kini telah lebih setahun sejak dia (Uthayakumar) didakwa di mahkamah dan saya tidak akan menerima sebarang kelewatan lagi bagi perbicaraan ini," kata hakim.

Sabariah, yang kelihatan dukacita berkata beliau akan menetapkan minggu depan bagi tarikh perbicaraan dan menggesa Surendran untuk memastkan kehadiran Uthayakumar.

Bagaimanapun, Surendran memberitahu mahkamah bahawa Uthayakumar telah mempunyai temu janji dengan Hospital Spire Bushey di London pada 6 Ogos dan beliau tidak dapat mengesahkan tarikh tepat anak guammnya akan kembali.

"Beliau mempunyai sebab yang sah untuk tidak menghadiri perbicaraan hari ini dan saya akan memastikan bahawa Uthayakumar akan kembali secepat mungkin dan menghadapi dakwaan terhadapnya," kata Surendran. Perbicaraan kes hasutan itu ditetapkan tiga hari mulai hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin membantah penangguhan itu dan memohon supaya waran tangkap dikeluarkan ke atas Uthayakumar.

Noorin memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan hanya dimaklumkan pagi ini mengenai ketidakhadiran Uthayakumar dan permohonan untuk penangguhan dripada peguam belanya telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di Kuala Lumpur walaupun beliau sedar bahawa kes itu dikendalikan DPP dari Putrajaya.

Uthayakumar, 48, didakwa menyiarkan surat berbaur hasutan dalam sebuah laman web, iaitu kesalahan yang diperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau keduaduanya, jika sabit kesalahan.

Surat itu, bertarikh 15 Nov, 2007 adalah daripada Hindraf dan dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain Gordon Brown di No 10, Downing Street, London.

Dua hari kemudian, Uthayakumar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri berikutan pembabitannya dalam demonstrasi jalanan di sini pada 25 Nov lepas dan didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap kerajaan.

Sabariah kemudian menetapkan perbicaraan itu selama tiga hari mulai 28 Ogos. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain