suria

H1N1: Sabah tubuh jawatankuasa khas

KOTA KINABALU: Sabah akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan penularan Influenza A (H1N1) yang semakin membimbangkan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo selaku timbalan pengerusi.

"Jawatankuasa khas ini akan memantau dan melaporkan perkembangan wabak Influenza A (H1N1) kepada Kabinet Negeri dari semasa ke semasa," katanya ketika menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BNKemabong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya sehingga semalam, seramai 273 orang dilaporkan positif virus H1N1 di Sabah dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 164 kes.

"Negara kini memasuki fasa mitigasi dalam menangani pandemik Influenza A(H1N1). Dalam fasa ini, penularan jangkitan akan cuba diperlahankan dan ini amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.

Masidi pula berkata berlaku penurunan ketibaan pelancong ke Sabah dalam lima bulan pertama tahun ini dan ia berpunca daripada faktor kegawatan ekonomi global dan bukan kerana wabak.

"Namun penurunan ketibaan pelancong hanya 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas" katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain