suria

Kanak-kanak lelaki 11 tahun mangsa keenam H1N1

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kematian keenam akibat jangkitan Influenza A(H1N1) apabila seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jangkitan disahkan meninggal dunia pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kanakkanak itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu pada Rabu lepas dengan simptom demam selama sehari.

"Tiada simptom batuk dan tanda-tanda gangguan pernafasan lain. Semasa dalam rawatan keadaan klinikal pesakit bertambah tenat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada 30 Julai (Khamis)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata hasil pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai jangkitan paru-paru dan myocarditis. Pesakit disahkan menghidap jangkitan virus H1N1 pada pukul 11 pagi semalam.

"Akibat komplikasi jangkitan, pesakit disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi, 2 Ogos 2009 semasa dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Mengenai situasi semasa pandemik H1N1, Dr Mohd Ismail berkata sehingga kini sejumlah 39 kes baru influenza A(H1N1) termasuk dua kematian dilaporkan. Semua kes adalah jangkitan tempatan dan warganegara Malaysia.

Daripada 39 kes yang dilaporkan hari ini, 35 merupakan kejadian dari lapan kluster baru dan empat kes sporadik atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga hari ini adalah sebanyak 1,429 kes dengan enam kematian.

Daripada keseluruhan kes yang dilaporkan itu, 574 (40 peratus) merupakan kes import dan 855 (60 peratus) kes jangkitan tempatan.

"Daripada jumlah ini, 1,394 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 19 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dan lapan daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi. Sepuluh orang lagi sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata daripada lapan kes yang berada di ICU, lima pesakit mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (satu), wanita hamil (dua) dan imuniti rendah (dua).

Merujuk situasi global, sehingga kini, sejumlah 183,826 kes dengan 1,301 kematian telah dilaporkan daripada 167 negara, peningkatan sebanyak 940 kes dengan 95 kematian berbanding dengan hari sebelumnya. Pertambahan negara adalah Channel Island dan Moldova.

Dr Mohd Ismail berkata bagi memastikan rawatan awal dengan antiviral influenza dapat diberikan segera bagi mereka yang berisiko tinggi, Kementerian Kesihatan menetapkan supaya semua kes yang mempunyai simptom jangkitan serta mempunyai faktor risiko (mengandung, obesiti, asma, penyakit paruparu kronik, diabetik, dan golongan imuniti rendah) diberi rawatan antiviral influenza serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan penyakit itu.

Ini adalah untuk kes-kes yang dikesan dalam masa 48 jam selepas onset manakala ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk keskes yang dirawat di hospital, katanya. Bagi pelajar sekolah termasuk institusi pengajian tinggi yang mempunyai simptomsimptom jangkitan hendaklah mengelak diri daripada menghadiri kelas, kuliah serta aktiviti berkumpulan, katanya. Beliau berkata mereka hanya dibenarkan menghadiri aktiviti-aktiviti itu selepas satu hari bebas simptom jangkitan influenza A(H1N1).BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain