suria

ISA: 11 pemimpin Pakatan akan dipanggil; 589 ditahan semalam

KUALA LUMPUR: Seramai 589 orang termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan dan perarakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara sehingga pukul 11 malam tadi.

Dalam pada itu, 11 orang termasuk pemimpin Pakatan Rakyat telah dikenal pasti menghasut demonstrasi di ibu negara semalam dan mereka akan dipanggil untuk memberikan kenyataan kepada polis.

Mereka termasuklah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua; Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Sebahagian pemimpin berkenaan berucap di beberapa lokasi ketika perhimpunan anti-ISA.

"Mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohd. Sabtu Osman.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 549 lelaki dan 40 wanita yang akan disiasat di bawah Akta Polis 1967.

"Daripada jumlah itu, 27 orang adalah pelajar yang mana 20 orang terdiri daripada pelajar berumur 17 tahun ke bawah manakala bakinya adalah pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta yang berumur lingkungan 18 hingga 23 tahun," kata beliau dipetik Bernama.

Mereka yang ditahan adalah antara sebahagian penyokong GMI yang berhimpun dan berarak secara haram seawal 7 pagi bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun usaha GMI itu untuk menghantar memorandum itu menemui kegagalan ekoran ketegasan pasukan keselamatan mengekang rancangan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain