suria

A(H1N1): Malaysia catat kematian ke-6

PETALING JAYA: Negara merekodkan satu lagi kematian akibat wabak influenza A(H1N1) - yang kedua dalam masa 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Dengan itu, jumlah korban telah mencecah enam orang di Malaysia setakat ini.

Mangsa keenam itu adalah seorang budak lelaki berumur 11 tahun, yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 29 Julai lalu dengan simptom demam selama satu hari.

"Tiada simptom batuk dan lain-lain tanda-tanda gangguan pernafasan," kata beliau.

BERITA TERDAHULU: Kanak-kanak 10 tahun mangsa ke-5 A(H1N1)

Dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari tadi, beliau menjelaskan, semasa dalam rawatan keadaan klinikal pesakit bertambah tenat dan dimasukkan ke unit rawatan rapi keesokan hari.

Hasil pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai jangkitan paru-paru dan myocarditis.

"Pesakit disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada pukul 11 pagi 1 Ogos (semalam).

"Akibat komplikasi jangkitan pesakit disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi 2 Ogos (hari ini) semasa dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi," katanya.

Selain kematian, hari ini sahaja sejumlah 39 kes baru jangkitan dilaporkan.

"Semua kes adalah kes tempatan dan warganegara Malaysia.

"Daripada 39 kes yang dilaporkan hari ini, 35 merupakan kejadian dari lapan kluster baru dan empat kes sporadik atau terpencil," kata beliau.

Setakat hari ini sejumlah 183,826 kes dengan 1,301 kematian telah dilaporkan di 167 negara.

Dr. Ismail menambah, bagi memastikan rawatan awal dengan antiviral influenza dapat diberi dengan segera kepada mereka yang berisiko tinggi dan menunjukkan simptom-simptom jangkitan, Kementerian Kesihatan telah membuat tiga ketetapan serta-merta.

Tiga ketetapan ini terdiri daripada:

- Semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza serta mempunyai faktor risiko (mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan golongan imuniti rendah), hendaklah diberi rawatan influenza serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan influenza A(H1N1). Ini adalah untuk kes-kes yang dikesan dalam masa 48 jam selepas onset.

- Ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk kes-kes yang dirawat di hospital.

- Bagi pelajar sekolah termasuk institusi pengajian tinggi adalah diingatkan bahawa mereka yang bersimptom hendaklah mengelakkan diri daripada menghadiri kelas atau kuliah termasuk aktiviti berkumpulan. Mereka hanya dibenarkan menghadiri aktiviti-aktiviti ini selepas satu hari bebas simptom jangkitan influenza A(H1N1).

Maklumat semasa influenza A(H1N1) termasuk aktiviti pencegahan boleh didapati melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my ataupun melalui talian hotline 03-88810200 dan 03-88810300 yang beroperasi antara pukul 8 pagi dan 5.30 petang setiap hari termasuk hari cuti dan kelepasan am.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain