suria

Permatang Pasir: Umno P. Pinang akan bermesyuarat pilih calon

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi memilih calon yang sesuai untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Permatang Pasir.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon yang dipilih perlu diterima oleh kebanyakan masyarakat dan bukannya hanya oleh pemegang jawatan dalam Umno bahagian, Pemuda, Wanita atau Puteri.

"Jika calon itu popular... sesuai dengan kehendak rakyat yang boleh mewakili rakyat dan diterima oleh pemimpin di peringkat negeri dan peringkat pusat, InsyaAllah saya akan kemukakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden Umno) yang akan mendapatkan persetujuan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno," katanya selepas merasmikan Kursus Pidato Politik di sini hari ini.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS semalam, kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain