suria

Permatang Pasir: PR jangan ambil mudah, kata Guan Eng

PULAU PINANG: PAS perlu menyelesaikan masalah mereka terlebih dulu jika ingin mempertahankan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang pilihan raya kecilnya bakal diadakan nanti, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang berkata PAS perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di pilihan raya kecil Manik Urai yang baru berlalu, apabila PAS menang dengan Barisan Nasional (BN) hanya dengan majoriti 65 undi.

Piliha raya kecil di Permatang Pasir di Pulau Pinang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman semalam di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur akibat sakit jantung.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Mohd Hamdan, 63, yang menjadi wakil rakyat Permatang Pasir selama tiga penggal mulai 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib (5,571 undi) dengan majoriti 5,433 undi.

"Masalah yang timbul itu perlu diselesaikan terlebih dahulu dan tidak seharusnya timbul lagi di Permatang Pasir. Walaupun PAS menang di Manek Urai, tetapi PR tidak mahu apa yang terjadi di sana berlaku di sini," kata Lim kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Khas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, di sini hari ini.

Beliau berkata beliau percaya PAS sedang dalam proses menyelesaikan masalah yang timbul dalam parti berkenaan.

Lim berkata komponen PR akan turun padang membantu PAS bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya semua pihak tidak boleh ambil mudah dan perlu bekerja keras meraih sokongan rakyat untuk mengundi PAS.

"Walaupun sebelum ini PAS menang dengan majoriti yang besar di Permatang Pasir dan jangan ingat perkara yang sama akan berulang, tiada laluan mudah untuk kita di sana.

"Semua pihak perlu perbetulkan persepsi yang PR boleh menang mudah di sana kerana situasi sekarang adalah lima puluh lima puluh," katanya.

Sementara itu Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain berkata beliau telah mendapat sijil kematian Mohd Hamdan dan akan menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isnin ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain