suria

PAS umum calon Permatang Pasir minggu depan

KUALA LUMPUR: PAS dijangka mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir minggu depan.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa PAS pusat dalam masa terdekat.

"Itu (pengumuman calon) akan diputuskan oleh jawatankuasa (PAS) pusat dan kita akan bawa (keputusan) pada mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pilihan raya kecil negeri Permatang Pasir itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS semalam, kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur.

Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata kematian wakil rakyat PAS itu merupakan satu kehilangan besar kepada parti.

Beliau turut berharap Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calonnya seperti yang dilakukan parti itu pada pilihan raya kecil DUN Penanti 31 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Mohd Hamdan yang menjadi wakil rakyat Permatang Pasir selama tiga penggal mulai tahun 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5,571 undi dengan majoriti 5,433 undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam dilaporkan berkata bahawa penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil negeri Permatang Pasir dijangka diumum selewat-lewatnya 10 Ogos. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain