suria

Muhyiddin malu dengan sikap pemimpin pembangkang Melayu

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan sesetengah pemimpin pembangkang Melayu yang mempertikai hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Rajaraja Melayu dan perkara-perkara dalam Perlembagaan Negara sebagai sesuatu yang amat memalukan.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka turut menganggap perjuangan membela bangsa Melayu yang dipelopori Umno selama ini sebagai perjuangan yang berbentuk perkauman.

"Ramai masyarakat Melayu mula gusar dengan perkembangan ini dan mereka bimbang usaha yang kita lakukan selama ini untuk mempertahankan hak istimewa orang Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara, mempertahan martabat Raja-raja Melayu sebagai Ketua Negara dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan tergugat," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin berkata bagi menghadapi saat mencabar ini, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memperkukuh Umno kerana hanya parti itu yang mempertahankan hak bangsa Melayu di negara ini.

"Parti lain tidak mampu mempertahankan hak Melayu malahan mereka sanggup menggadaikan bangsa Melayu hanya untuk kepentingan politik. Umno mesti mempelopori semula usaha menyemarakkan perjuangan Melayu," katanya.

Di BATU PAHAT, Timbalan Perdana Menteri meminta anggota Umno melihat semua kelemahan dan memperbaiki imej parti bagi memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap parti yang menjadi tulang belakang orang Melayu itu.

Muhyiddin berkata semua anggota Umno perlu menggunakan peluang yang ada dalam jangka masa 24 bulan ini bagi mengubah tanggapan masyarakat terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilempar kepada Umno sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Orang lihat kita (Umno) tidak semolek dulu. Kata kita zalim, amalkan rasuah dan tidak mengamalkan dasar sama rata antara kaum. Apatah lagi ia diputar belit oleh pembangkang. Dulu orang terpegun tengok kita tetapi sekarang orang pandang sebelah mata.

"Kita jangan lupa, asas penubuhan Umno adalah untuk membela nasib bangsa, agama dan negara. Sebab itu kita kena berhadapan dengan masyarakat. Kita ada dua tahun. Kalau Umno mahu bangkit, inilah tempoh yang ada," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Sri Gading, di Parit Raja, di sini.

Beliau berkata semua anggota Umno perlu bermuhasabah dan menggunakan pelbagai pendekatan untuk turun ke seluruh cawangan bertemu dengan akar umbi.

"Ada orang kata relevankah Umno atau adakah Umno sudah sampai di hujung jalan. Jadi ini semua mencabar kita. Saya bimbang kalau kita tidak lakukan perubahan segera, maka rakyat jelata akan menolak kita," tegasnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain