suria

Malaysia akan pesan ubat anti-viral dari WHO kata Liow

PULAU PINANG: Kerajaan akan memesan bekalan ubat antiviral 'Tamiflu' dan 'Relenza' daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan negara mempunyai bekalan ubat itu pada setiap masa bagi membendung wabak influenza A(H1N1).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 10 peratus simpanan stok antiviral ubat berkenaan buat masa ini tidak cukup memandangkan penularan ketara penyakit berjangkit itu.

"Melihat kepada trend penularan wabak itu yang semakin meningkat, kita perlu memesan ubat itu daripada WHO," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang di sini hari ini.

Katanya kementerian juga turut menempah 200,000 dos vaksin influenza A(H1N1) dan dijangka mendapat bekalan itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya tempahan tersebut terpaksa dilakukan secara awal kerana prosedur menguji ubat itu mengambil masa sebelum dapat diberikan kepada pesakit.

Dalam perkembangan berkaitan, Liow berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan satu mesyuarat antara menteri Selasa ini bagi menangani wabak influenza A(H1N1).

Katanya mesyuarat itu dijangka turut disertai oleh kesemua kerajaan negeri. Liow menggesa orang ramai supaya segera mendapatkan bantuan perubatan jika mempunyai simpton awal penyakit selesema A(H1N1).

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Beliau berkata sehingga kini, jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) di negara ini ialah 1,390 kes, iaitu 574 (41 peratus) kes import dan 816 (59 peratus) jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antiviral di hospital.

"Lapan daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain