suria

Kerajaan Selangor teliti minuman keras untuk orang bukan Islam

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sedang meneliti untuk menguatkuasakan undangundang bagi memastikan hanya pembeli dan penjual bukan Islam sahaja yang boleh membeli dan menjual minuman keras.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perbincangan mengenainya masih berjalan dan akan mengambil masa kirakira empat bulan untuk disiapkan memandangkan pelbagai perkara yang perlu diteliti sebelum ia dapat dilaksanakan secara seragam di negeri itu.

"Kita perlu melihat banyak aspek dan mengkaji mengenai lesen terutamanya kepada kedai serbaneka dan pasar mini yang terbabit menjual minuman keras. Banyak prosedur yang perlu dibuat terlebih dahulu kerana ia membabitkan banyak pihak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2009 Ke5, di sini hari ini.

Beliau berkata melalui syarat baru penjualan minuman keras itu, ia akan memastikan hanya penjual bukan Islam sahaja (termasuk juruwang) yang boleh melakukan urusniaga berkenaan.

Abdul Khalid berkata penelitian juga akan dibuat membabitkan penjualan minuman keras hanya boleh dibuat untuk mereka yang bukan beragama Islam yang mencapai had umur sahaja bagi memastikan tidak timbul masalah sosial.

Mengulas mengenai tindakan seorang exco kerajaan negeri yang mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini kelmarin, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan exco Rabu depan.

"Saya akan mendapatkan penjelasan dari exco terbabit berhubung hal berkenaan," katanya.

Mengenai dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bahawa terdapat lebih 4,000 premis judi, hiburan dan urut kesihatan beroperasi secara haram sejak pakatan pembangkang memerintah negeri itu, Abdul Khalid berkata:

"Saya tak tahulah kalau dibandingkan sebelum 2008 dan selepas 2008. Nantilah saya akan umumkan, tengok apa bezanya".

Beliau berkata dakwaan Mohamad Khir itu adalah tohmahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain