suria

Jangan benarkan diri dipimpin oleh pemimpin yang buat tohmahan - Hishammuddin

DUNGUN: Anggota Umno Terengganu diingatkan supaya tidak membenarkan diri mereka dipimpin oleh pemimpin yang membawa tohmahan kerana ia hanya merugikan parti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perkara itu tidak harus dibiarkan berterusan kerana kepentingan parti mengatasi kepentingan individu.

"Kalau yang menjadi pertimbangan ialah jawatan, tiada gunanya jawatan yang paling tinggi dalam parti, kalau parti itu sendiri tidak dihormati dan disegani," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun di Sekolah Menengah Teknik di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai kemelut politik Terengganu yang sehingga kini, masih belum memperlihatkan jalan penyelesaian antara Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Terengganu.

Hishammuddin berkata beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh serta pemimpin-pemimpin Umno di empat peringkat.

Katanya dalam pertemuan itu, beliau memaklumkan hasratnya untuk melihat pemimpin dan anggota Umno kembali bersatu kerana mereka mempunyai agenda besar bagi memperkuatkan parti.

"Jaminan yang diberi (pemimpinpemimpin Umno ini) bila berjumpa semuanya beres. Tetapi apabila kita mengizinkan suasana di bahagian masing-masing atau kita terikut-ikut dengan sentimen atau dakyah yang ditaburkan pihak tertentu, kita benarkan diri kita dipengaruhi oleh sentimensentimen tertentu. Itu tidak mengizinkan penyelesaian dan suasana yang kondusif kepada penyatuan," katanya.

Hishammuddin, bagaimanapun berkata perpecahan yang berlaku di kalangan pemimpin Umno Terengganu tidaklah seteruk yang disangkakan oleh sesetengah pihak.

"Tetapi kalau berterusan dan tidak dibendung, saya bimbang keretakan atau permasalahan itu akan menjejaskan usaha kita untuk membawa perubahan dan memperkukuhkan parti," katanya.

Hishammuddin turut memuji langkah yang dilakukan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan yang melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan Umno lepas sebagai pemimpin di peringkat bahagian tersebut, dalam usaha menyatupadukan kembali anggota parti.

Katanya perkara itu boleh dijadikan contoh oleh bahagianbahagian lain jika hendak melihat Umno Terengganu lebih kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pada majlis itu, Rosli mengumumkan pelantikan Adun Paka, Zakaria Abdullah sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun bagi menggantikan Mahusin Taib manakala Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam yang tewas dalam merebut jawatan Ketua Umno Bahagian berkenaan, dilantik sebagai AJK Bahagian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain