suria

IPT diminta lapor segera jika ada gejala ILI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meminta pentadbiran semua institusi pengajian tinggi (IPT) melaporkan segera kepada pejabat kesihatan jika terdapat kelompok kes penyakit seperti influenza (ILI) di kalangan penuntut baru mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penuntut yang mengalami gejala ILI ketika pendaftaran akan diminta pulang dan kembali ke institusi berkenaan setelah sembuh.

Ujian influenza A (H1N1) akan dibuat jika jangkitan itu sederhana dan teruk, ada komplikasi atau terjadi dalam kalangan mereka yang berisiko seperti obes dan asthmatik dan mereka perlu dirujuk ke hospital, katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan media berkaitan ujian swab tekak untuk jangkitan influenza kepada penuntut yang akan mendaftar Program Matrikulasi.

"Saya harap ini lebih jelas untuk ibu bapa, pelajar dan pihak pengurusan institusi," katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa gejala Influenza A(H1N1) di negara ini, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata tiada kes baru yang disahkan positif Influenza A (H1N1) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala satu daripada sembilan kes dalam ICU pada hari sebelumnya, telah dipindah keluar ke wad isolasi.

"Jumlah kes yang berada di ICU adalah lapan orang, antaranya dua remaja obes, seorang wanita hamil dan seorang imuniti rendah," katanya.

Beliau berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu, 14 merupakan kejadian dari tiga kluster baru, lima kes dari dua kluster sedia ada dan tiada kes sporadik atau terpencil, katanya.

Beliau berkata sehingga kini, jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) di negara ini ialah 1,390 kes, iaitu 574 (41 peratus) kes import dan 816 (59 peratus) jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antiviral di hospital. Lapan daripadanya berada di ICU manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

Merujuk situasi global pula, sejumlah 182,886 kes dengan 1,206 kematian telah dilaporkan daripada 165 negara, iaitu peningkatan sebanyak 5,638 kes dengan 33 kematian berbanding hari sebelumnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain