suria

Milikan kosong: Penduduk Kg Buah Pala fail kebenaran untuk merayu

PUTRAJAYA: Penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang telah memfailkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mengetepikan writ milikan kosong dan notis bailif.

Peguam penduduk berkenaan, Darshan Singh Khaira, ketika dihubungi berkata permohonan itu difailkan semalam di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata tiada tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah untuk mendengar permohonan itu.

Darshan Singh berkata asas permohonan itu adalah writ milikan kosong yang diperoleh pemaju, Nusmetro (P) Sdn Bhd, dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad, adalah cacat kerana ia dibuat secara exparte (tanpa pengetahuan penduduk).

Beliau berkata penduduk kini berada dalam dilema memandangkan mereka perlu mengosongkan tanah terbabit sebelum 2 Ogos.

"Penduduk berharap pemaju akan memberi mereka ruang untuk berunding," katanya.

Pada 17 Julai, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak dengan kos permohonan penduduk Kampung Buah Pala untuk mengetepikan writ milikan dan notis bailif itu.

Isu tanah di Kampung Buah Pala menjadi semakin panas selepas Mahkamah Persekutuan pada 25 Jun, mengeluarkan perintah kepada 23 keluarga yang tinggal di tanah kampung seluas 2.6 hektar, yang diberi jolokan High Chapparal, supaya mengosongkannya sebelum 2 Ogos.

Bagaimanapun, penduduk terbabit enggan berpindah keluar, dengan mendakwa tanah kampung itu diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang tanpa persetujuan mereka.

Rumah penduduk juga akan dirobohkan dan sebuah projek perumahan akan dibangunkan di atas tanah itu. BERNAMA

Artikel Lain