suria

MIC mahu kuota 7.4 peratus dalam GLC

KUALA TERENGGANU: MIC mahu sekurang-kurangnya kuota 7.4 peratus kaum India berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),termasuk pada peringkat eksekutif dan pengurusan kanan, kata presiden parti, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Beliau berkata kuota itu berdasarkan sasaran minimum 7.4 peratus yang di tetapkan oleh kerajaan untuk pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam.

"Kita sedar bahawa banyak GLC telah menambah bilangan pengambilan kaum India tetapi lebih ramai boleh dilakukan," katanya merasmikan persidangan perwakilan MIC Terengganu di sini hari ini.

Telekom Malaysia Berhad semalam berjanji kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam untuk mengambil lebih ramai kaum India bagi memenuhi kuota 7.4 peratus oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dr Subramaniam, yang juga setiausaha agung MIC berkata setakat ini bilangan kaum India di syarikat tersebut hanya 4.6 peratus dan ini perlu ditambah bagi menunjukkan keseimbangan kaum dalam tenaga kerja di sektor awam.

Samy Vellu juga berkata MIC telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Datuk Dr Denison Jayasooria untuk menyediakan laporan komprehensif mengenai rancangan, dasar dan program bagi masyarakat India dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bermula 2011 hingga 2015.

Di Terengganu pula, Presiden parti itu berkata beliau akan menemui Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said tidak lama lagi untuk meminta lebih banyak peluang perniagaan bagi kaum India di negeri ini.

"Sunggguhpun jumlah kaum India di Terengganu kurang satu peratus, ramai yang terbabit dalam perniagaan kecil dan sebagai kontraktor.

Kerajaan negeri ini boleh memperuntukkan sesetengah kontrak kerajaan kepada mereka," tambah Samy Vellu. BERNAMA

Artikel Lain