suria

H1N1: 69 kes baru transmisi tempatan dicatatkan hari ini

KUALA LUMPUR Sebanyak 69 kes baru transmisi tempatan influenza A (H1N1) dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan kes di negara ini 1,371 kes termasuk empat kematian.

Enam puluh lapan kes yang dilaporkan hari ini melibatkan rakyat tempatan manakala seorang lagi rakyat China yang belajar di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata 1,341 kes telah sembuh dan hanya 21 kes masih menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan antiviral di rumah.

Sembilan kes berada di unit rawatan rapi iaitu dua remaja obes, seorang wanita hamil dan seorang imuniti rendah, katanya.

Beliau berkata tiga daripada tujuh kes yang berada di unit rawatan rapi pada hari sebelumnya telah dipindahkan ke wad isolasi.

Dr Ismail berkata lima kes sporadik yang baru disahkan positif influenza A (H1N1) adalah keskes yang berkomplikasi dan terus dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Beliau berkata daripada keseluruhan 1,371 kes yang dilaporkan di negara ini, 574 adalah kes import manakala 797 lagi kes jangkitan tempatan.

Merujuk situasi global, Dr Ismail berkata sehingga hari ini sejumlah 177,248 kes dengan 1,173 kes kematian dilaporkan di 163 negara, meningkat sebanyak 526 kes dengan tujuh kematian berbanding hari sebelumnya.

Di KUCHING, kesemua tujuh kes baru H1N1 di negeri itu merupakan jangkitan tempatan dan membabitkan pelajar sekolah iaitu enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Kedit, Betong, manakala seorang lagi ialah murid lelaki berusia lapan tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Lutong, Miri.

Sehingga kini, Sarawak mencatat 123 kes H1N1, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, tiada penutupan baru sekolah sejak semalam.

Enam pesakit masih menerima rawatan di hospital, termasuk seorang wanita yang baru melahirkan bayi pada 20 Julai lepas yang masih berada di unit rawatan rapi Hospital Miri, manakala empat dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching dan seorang lagi di Hospital Miri. BERNAMA

Artikel Lain