suria

Selangor perlu beri penjelasan mengenai pertumbuhan pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor perlu telus dan memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai pertumbuhan pusatpusat hiburan, rumah urut dan pusat refleksologi dalam negeri yang cukup ketara, kata Pengerusi badan perhubungan Gerakan Selangor, Senator A Kohilan Pillay.

Beliau berkata statistik Majlis Keselamatan Negara menunjukkan bahawa ketika ini terdapat kira-kira 4,000 premis sedemikian yang beroperasi di Selangor berbanding 700 sebelum ini.

"Memandangkan jumlahnya meningkat secara drastik, orang ramai ingin tahu berapa banyak daripadanya yang menjalankan aktiviti itu dengan mematuhi undang-undang, dan bukan hanya menggunakan ia untuk melindungi aktivitiaktiviti haram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Gerakan berkata kerajaan Selangor kelihatan mengambil sikap tidak endah terhadap gesaan oleh banyak pihak yang mahukan penjelasan mengenai perkara itu.

"Kami difahamkan lesen rumah urut di Selangor sudah dibekukan oleh kerajaan Selangor tahun lepas ekoran ada pengusahanya yang cenderung menggunakan pusatpusat itu untuk melindungi kegiatan haram. Bagaimanapun kegiatan pusat-pusat ini sebaliknya kini dilihat semakin berleluasa, mesti ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Semalam bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dilaporkan berkata kebanyakan kegiatan curi pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi oleh "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap. BERNAMA

Artikel Lain