Polis siasat 'orang dalam' seludup pil Eramin bernilai RM20 juta - Semasa | mStar

Polis siasat 'orang dalam' seludup pil Eramin bernilai RM20 juta

PULAU PINANG: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan 'orang dalam' berhubung penyeludupan pil eramin 5 bernilai RM20 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Sungai Dua di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata ini kerana kesemua pil khayal berkenaan dibawa masuk melalui kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) dari Taiwan tanpa sebarang masalah.

"Kita sedang siasat dan teliti semua dokumen perjalanan kontena yang membawa dadah berkenaan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan pembabitan 'orang dalam' di lapangan terbang berkenaan yang membolehkan dadah itu diseludup dari Taiwan tanpa sebarang masalah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" adalah antara enam lelaki dan dua wanita yang diberkas berhubung penemuan sejuta biji pil khayal itu pada Selasa lepas dalam serbuan di gudang yang terletak di belakang sebuah restoran itu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 374 gram dan menahan lima lelaki yang terdapat dalam gudang itu bagi membantu siasatan.

Ayub berkata lelaki berstatus "Datuk" itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rasuah, senjata api dan curi.

Beliau berkata polis turut menyita pelbagai barangan milik mereka yang ditahan itu antaranya tujuh buah kenderan termasuk kenderaan mewah, wang tunai pelbagai mata wang, barang kemas, barangan elektrik dan jam tangan mewah yang kesemuanya bernilai RM3.5 juta.

Ayub berkata siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan dan pengedaran pil berkenaan mempunyai rangkaian di beberapa negeri lain dan telah aktif sejak setahun lepas.

Beliau berkata penyeludupan itu berjaya dibanteras hasil risikan dan intipan selama lima bulan serta kerjasama daripada polis Taiwan.

"Terima kasih kepada Polis Taiwan yang menyalurkan maklumat kepada kita sehingga berjaya merampas pil berkenaan di gudang yang dipercayai dijadikan tempat pemunggahan serta penyimpanan stok dadah itu," katanya.

Katanya polis percaya pil yang dijual dengan harga RM20 sebiji itu adalah untuk pasaran dalam negara.

"Daripada kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 50 tahun itu, tujuh direman sehingga 4 Ogos ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (memperuntukan hukuman mati mandatori).

"Manakala enam lagi disiasat menurut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (LangkahLangkah Pencegahan Khas) 1985," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain