suria

H1N1: Doktor gagal patuhi garis panduan akan disoal siasat

PUTRAJAYA: Doktor yang gagal mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan bagi mengesan jangkitan Influenza A (H1N1) lebih awal akan dipanggil untuk disoal siasat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata siasatan itu bukan bertujuan untuk menghukum tetapi untuk memahami mengapa mereka tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan menurutnya siasatan akan dilakukan pasukan dari Bahagian Kawalan Penyakit.

"Kalau masih ada doktor yang tak patuh garis panduan kementerian, kita akan panggil doktor itu, tanya sama ada dia faham atau tak (dengan garis panduan yang diberikan).

"Sesetengah mereka mungkin tidak faham, seperti dalam kes yang meninggal dunia dalam 24 jam (kematian pertama H1N1), pesakit berjumpa doktor dan selepas satu jam, dia meninggal dunia. Jadi saya mahu tahu daripada doktor, adakan anda periksa pesakit? Jika berbuat demikian kenapa tidak direkodkan dalam kad jabatan pesakit luar...saya mahu tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Imunologi Klinikal di sini Khamis.

Dr Mohd Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh kementerian terhadap doktor yang gagal mematuhi garis panduan pemeriksaan Influenza A (H1N1) sepertimana yang ditetapkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza A (H1N1) semalam.

Garis panduan itu antara lain menetapkan semua kes pneumonia yang teruk perlu diambil sampel tekak untuk ujian Influenza A (H1N1) dan dimulakan rawatan antiviral kerana terdapat kegagalan oleh doktor dalam mengesan penyakit itu lebih awal dalam empat kes kematian akibat H1N1 yang direkodkan setakat ini.

Dr Mohd Ismail berkata kesemua doktor boleh mengikuti perkembangan terkini penyakit itu melalui Internet manakala semua arahan kementerian dipaparkan di laman web kementerian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana doktor yang tidak mempunyai komputer supaya membelinya bagi membolehkan mereka sentiasa mengikuti perkembangan semasa jangkitan itu terutama arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kementerian.

"Saya diberitahu sesetengah doktor tidak mempunyai komputer sendiri, jadi tolong beli, layari internet dan laman web (kementerian) supaya mereka mengetahui perkembangan terkini daripada segi menguruskan pesakit mereka, dan ia bukan untuk H1N1 sahaja, ia juga untuk pembangunan profesional berterusan (CPD).

"Dapatkan maklumat mengenai garis panduan bagi tamiflu, mengenai pemakaian topeng, mengenai memeriksa pesakit, semuanya ada (dalam laman web kementerian). Tidak ada alasan untuk berkata mereka tidak tahu apa-apa," tegasnya.

Ditanya sama ada siasatan telah dilakukan bagi empat kes kematian H1N1 sebelum ini, Ismail berkata setakat ini doktor yang terlibat hanya diberikan peringatan, dan tindakan seterusnya bergantung kepada perkembangan mereka selepas ini.

Dr Mohd Ismail juga berkata doktor juga tidak boleh enggan merawat pesakit yang menghidap penyakit serupa dengan influenza (ILI) yang datang mendapatkan rawatan kali kedua dan menurutnya pesakit boleh mendesak untuk diuji bagi H1N1 semasa mendapatkan rawatan kali kedua jika selesema mereka masih belum sembuh.

Ketika ditanya mengenai satu kes di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di mana pesakit asma yang disyaki dijangkiti H1N1 dan mahu berjumpa doktor tetapi sebaliknya diminta pulang ke rumah dan berehat, katanya beliau akan merujuk kes itu dengan HKL.

"Kita akan nasihat doktor-doktor kita sekiranya seseorang itu datang balik setelah diberi rawatan mulanya, dan sekiranya ada asma dan sebagainya patut diberi perhatian lebih," katanya.

Mengenai simposium itu, Dr Mohd Ismail berkata kerajaan mahu melahirkan lebih banyak pakar imunologi berikutan negara kini kekurangan pakar berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain