suria

Polis Perak rampas dadah bernilai RM200,000

IPOH: Polis Perak merampas dadah seberat 86 kilogram bernilai RM200,000 dan menahan tujuh orang lelaki di Changkat Jering, Taiping 95 km dari sini Ahad lepas, di mana mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata berdasarkan maklumat, sepasukan anggota daripada Jabatan Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Narkotik Perak telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Changkat Ibol, Changkat Jering dan menahan empat lelaki yang berada di dalam rumah tersebut.

Hasil daripada pemeriksaan, polis menemui 10 karung guni yang mengandungi ketulanketulan mampat dipercayai ganja seberat 86 kilogram yang ditemui di rumah berkenaan pada pukul 10 malam, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulkifli berkata keempatempat lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Susulan daripada tangkapan pertama itu, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki di Kampung Ayer Kuning, kira-kira 10 km daripada tempat tangkapan pertama kirakira 50 minit kemudian, katanya.

Ketujuh-tujuh elaki yang ditahan itu berumur antara 26 hingga 41 tahun berasal dari negeri ini, Selangor dan Pulau Pinang. Enam orang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Zulkifli berkata dua daripada lelaki berkenaan pernah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau berkata kesemua lelaki yang ditangkap ditahan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah yang jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos untuk siasatan lanjut.

Zulkifli berkata dadah tersebut diperolehi dari negara jiran untuk dipasarkan di Perak dan Kuala Lumpur dan dan ini merupakan rampasan dadah terbesar di negeri ini sepanjang tempoh tujuh bulan ini. BERNAMA

Artikel Lain