suria

Kes mutaah bekas isteri ADUN Melor ditangguh ekoran masalah penghawa dingin

KOTA BAHARU: Perbicaraan kes tuntutan mutaah RM3 juta yang dikemukakan bekas isteri kedua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor (PAs), Wan Ismail Wan Jusoh, 54, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini ditangguhkan pada 25 Ogos ini akibat masalah kerosakan pendingin hawa di bangunan mahkamah.

Peguam Mohd Sibri Ismail yang mewakili bekas isteri Adun itu, Siti Aishah Chou Abdullah, 24, berkata kes itu ditangguhkan berikutan keadaan panas dan kurang selesa di dalam bangunan mahkamah itu.

"Keputusan penangguhan kes tuntutan itu dilakukan Hakim Syarie, Abdullah Man di dalam kamarnya selepas saya memohon penangguhan itu, dan peguam defendan Mohd Raziman Yaakub tidak membantah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Siti Aishah dan Wan Ismail yang berkahwin di Kuala Lumpur pada 1 November 2004 memiliki dua orang anak sebelum disahkan bercerai pada 18 November tahun lalu.

Berdasarkan tuntutan yang difailkan pada 4 Januari lalu, Siti Aishah yang beralamat di Taman Tengku Ahmad Panglima, Wakaf Mek Zainab di sini, memohon mahkamah memerintahkan defendan membayar mutaah itu sebagai pampasan perceraian bagi kebajikan plaintif dan dua anak mereka, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Tahun 2002. BERNAMA

Artikel Lain