suria

Kematian Teoh: Misteri DNA

SHAH ALAM: Inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang ahli exco Selangor, diberitahu hari ini bahawa satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang kot dan tali pinggang Teoh.

Peguambela dan peguamcara, Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan ketika prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas berkata, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian luar kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Sementara itu, satu lagi profil DNA daripada spesimen yang diambil daripada bahagian tali pinggang Teoh yang terkoyak mendapati terdapat campuran DNA yang menyamai spesimen darah Teoh dan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang tidak diketahui.

Tan berkata, seramai 102 orang telah diuji bagi menentukan sama ada DNA mereka menyamai DNA lelaki yang tidak diketahui itu.

"Saya diberitahu oleh ahli kimia bahawa keputusan ujian 90 orang telah pun siap dan ujian bagi 12 lagi individu lelaki akan dijalankan.

"Saya juga diberitahu oleh pegawai penyiasat, dua orang enggan memberikan spesimen contoh DNA mereka," katanya. Gobind Singh Deo yang bertindak sebagai peguam mewakili keluarga Teoh kemudiannya meminta pihak pendakwaan supaya memaklumkan kepada mereka sama ada terdapat sampel DNA daripada 90 individu itu yang sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui tersebut.

"Inilah salah satu sebab mengapa pihak mahkamah perlu menangguhkan prosiding ini bagi menunggu keputusan penuh laporan DNA," katanya.

Tan kemudiannya menjawab: "Sama ada terdapat padanan DNA daripada 90 individu ini dengan DNA yang tidak diketahui itu, perkara ini adalah lebih baik diberitahu sendiri oleh pakar kimia nanti."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati terjatuh dari bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, 16 Julai lalu selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor.

Artikel Lain