suria

H1N1: Naib Canselor UiTM minta kaji semula langkah tutup universiti

SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berharap Kementerian Kesihatan mengkaji semula langkah penutupan universiti berikutan jangkitan Influenza A (H1N1).

Beliau berkata langkah penutupan itu kurang sesuai kerana menyukarkan tugas harian pihak pengurusan universiti termasuk bahagian keselamatan yang perlu memastikan keadaan bangunan sentiasa selamat.

"Ini kerana pengawal keselamatan dan pengarah kampus UiTM ada kerja masingmasing. Sepatutnya mereka boleh masuk dan bekerja seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Persatuan Alumni UiTM di pejabatnya di UiTM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penutupan sementara empat kampus UiTM iaitu di Lendu, Melaka, Sri Iskandar (Perak), Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan terbaru di Dungun (Terengganu) akibat H1N1.

Mengenai cuti semester UiTM yang diawalkan bermula Isnin lepas sehingga 2 Ogos ini, Ibrahim berkata langkah itu lebih baik berbanding penutupan sementara kerana ia tidak mengganggu proses kerja UiTM.

"Apabila memikirkan kira-kira 140,000 pelajar belajar di UiTM di seluruh negara, keputusan dibuat bagi membantu supaya penyakit tidak menular dan apabila pelajar kembali, kita perlu susun balik strategi.

"Pelajar yang disyaki menghidap H1N1 tak ramai. Jadi, sampai nak tutup kampus, mana boleh. Sebab itu saya putuskan cuti dibawa ke hadapan dengan membenarkan pelajar saja cuti manakala staf bekerja seperti biasa," katanya.

Beliau berkata pelajar yang disyaki menghidap H1N1 di kampus selepas cuti semester itu akan dikuarantin di kampus dan langkah penutupan kampus mungkin tidak akan diambil.

Katanya, kesemua pelajar UiTM yang memulakan pengajian selepas cuti semester akan disaring bagi memastikan mereka benarbenar sihat dan bebas jangkitan H1N1.

Pelajar UiTM akan kembali meneruskan pengajian pada 2 Ogos ini selepas bercuti sejak 27 Julai lepas, kecuali UiTM cawangan Kelantan, Terengganu dan Kedah, bermula 1 Ogos. BERNAMA

Artikel Lain