suria

Dua mayat berulat ditemui di dua lokasi berasingan

KUALA LUMPUR: Dua mayat tanpa identiti ditemui dalam keadaan berulat di dua lokasi berasingan dekat sini hari ini, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan di tempat lain sebelum dihumban ke lokasi tersebut.

Bagaimanapun, polis tidak mengaitkan penemuan keduadua mayat dengan kes pembunuhan yang sama.

Mayat pertama seorang wanita dalam lingkungan 20an ditemui di kawasan semak berhampiran sebuah tapak pembinaan di Bandar Puchong Jaya kira-kira pukul 8 pagi tadi.

"Mayat wanita itu ditemui oleh seorang penternak lembu. Mangsa mungkin telah mati dua hari lepas berdasarkan keadaan mayat dan mulutnya berulat," kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, mangsa berpakaian lengkap dengan berseluar panjang berwarna putih serta berbaju T dan bajunya terselak ke atas.

Zainal Rashid berkata polis percaya mangsa tidak disamun memandangkan rantai emas yang dipakai mangsa tidak hilang.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis masih menyiasat sama ada wanita itu dibunuh dan dirogol.

Pada pukul 12.15 tengah hari tadi, mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia dalam lingkungan lewat 20an pula ditemui oleh seorang pemotong rumput di kawasan semak berdekatan tanah lapang milik Sime Darby Land di Ara Damansara.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Shukor Sulong berkata mayat tanpa identiti itu yang berseluar jeans dan kemeja T dipercayai dibunuh enam hari lepas di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan itu.

"Mayat itu ditemui dengan kesan ikatan di pergelangan tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Lain