suria

Dua maut, tiga parah kereta bertembung motosikal di Machang

MACHANG: Dua maut manakala tiga cedera parah apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah kereta yang dinaiki tiga beranak dalam kejadian di Kilometer 3.1 Lebuhraya Machang Pasir Puteh di sini, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang ASP Loo Lian Lay berkata kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu meragut nyawa penunggang motosikal jenis Yamaha 125 Firdaus Mohd Nor, 18, dan pemandu kereta jenis Perodua Myvi Abu Jalil Hassan, 57, yang merupakan seorang pensyarah.

"Mangsa yang cedera parah pula adalah seorang lagi penunggang motosikal yang dipercayai sahabat kepada Firdaus iaitu Mohd Nor Musa, 20, isteri kepada pensyarah terbabit, Norany Johari, 55, dan anak mereka, Nurul Amirah, 17, yang berada dalam kereta Myvi itu.

"Dalam kejadian itu, Mohd Nor dan Firdaus yang datang dari arah Machang ke Pasir Puteh dipercayai berlumba dan menunggang motosikal mereka dalam keadaan laju sehingga hilang kawalan lalu sebuah motosikal bertembung dengan kereta Myvi terbabit yang datang dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Mohd Nor bernasib baik kerana motosikal yang dipandunya terbabas ke bahu jalan manakala motosikal yang dipandu Firdaus, bertembung dengan kereta yang dipandu Abu Jalil menyebabkan berlaku pertembungan yang kuat sehingga keduadua mangsa maut di tempat kejadian.

" Firdaus tercampak sehingga masuk ke dalam kereta Abu Jalil dan putus sebelah kaki," katanya.

Loo berkata ketika kejadian, Abu Jalil yang merupakan tenaga pengajar Institut Perguruan Melayu Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah itu dikatakan dalam perjalanan ke Terengganu untuk berkursus.

Firdaus dan Mohd Nor merupakan penduduk tempatan berasal dari Kampung Kolam Abu dekat sini.

Beliau berkata mayat keduadua mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk dibedah siasat manakala ketiga-tiga mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di Kota Baharu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang rakan Firdaus, Azmi Ismail, 24, berkata sebelum kejadian itu, Firdaus ada datang ke rumahnya semalam bagi meminjam motosikal Azmi untuk balik ke rumahnya yang terletak di kampung yang sama.

"Pada mulanya saya tak mahu bagi, tetapi dia beriaia memujuk menyebabkan saya kasihankannya lalu meminjamkan motosikal saya kepadanya memandangkan malam tadi hujan dan ini kali pertama dia nak pinjam motosikal daripada saya.

"Sebelum dia balik ke rumahnya, dia peluk saya eraterat dan selepas beberapa minit dia berlalu, dia telefon semula beritahu akan hantar motosikal saya hari ini sehinggalah pagi tadi ada rakan menelefon dan memberitahu motosikal saya yang ditunggang Firdaus terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Daerah Machang, di sini. BERNAMA

Artikel Lain