suria

Datuk antara tujuh ditahan dalam rampasan dadah RM10 juta

PULAU PINANG: Seorang lelaki bergelar "Datuk" adalah antara tujuh orang yang diberkas hari ini berhubung penemuan sejuta biji pil khayal dianggarkan bernilai RM10 juta.

Mereka kini direman selama tujuh bagi membantu siasatan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt S.Batumalai, ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Lelaki berusia antara 24 dan 52 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Batumalai yang enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, menurut sumber, mereka ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Sungai Dua di sini pada 12.40 pagi tadi. "Rampasan sejuta biji dadah jenis Ecstacy dan Eramin 5 adalah yang terbesar di Pulau Pinang," kata sumber itu.

Dadah itu ditemui dalam kotak yang disembunyikan dalam kontena di gudang berkenaan," katanya.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah sejumlah wang tunai dan sebuah kereta mewah.

"Seorang lelaki yang ditahan itu dipercayai bergelar Datuk," kata sumber berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain