suria

UPM awalkan cuti semester, empat pelajar positif H1N1

PETALING JAYA: Cuti pertengahan semester bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) diawalkan bermula esok berikutan empat pelajarnya disahkan positif influenza A(H1N1).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata, UPM mengumumkan cuti pertengahan semester pertama selama seminggu berkuat kuasa esok sehingga 4 Ogos adalah sebagai langkah awal mencegah penularan wabak berkenaan.

"Saya menerima maklumat pada pagi tadi bahawa empat pelajar kita disahkan positif H1N1.

"Jadi semua aktiviti akademik dan dan aktiviti-aktiviti lain dalam universiti yang telah dijadualkan dalam tempoh tersebut dibatalkan," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau langkah yang diambil oleh UPM itu adalah sejajar dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebelum ini cuti pertengahan semester bagi UPM dijadualkan akan bermula pada 17 hingga 23 Ogos depan.

Tambah Nik Mustapha, keempat-empat pelajar berkenaan kini telahpun diasingkan iaitu dua daripada pelajar berkenaan dikuarantinkan di kolej kediaman mereka manakala dua lagi menjalani kuarantin di rumah.

Bagaimanapun difahamkan jumlah berkenaan mungkin meningkat berikutan beberapa lagi pelajar lain turut menghadapi simptom-simptom jangkitan H1N1.

Malah beberapa ujian makmal juga masih dijalankan terhadap beberapa sampel pelajar yang demam sejak beberapa hari yang lalu.

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain