suria

Tujuh institusi di Pulau Pinang ditutup

PULAU PINANG: Sebuah kem pusat latihan khidmat negara di Bukit Mertajam diarah tutup hari ini selepas 28 daripada pelatihnya dikesan memiliki tanda-tanda jangkitan virus Influenza A H(1N1).

Dengan penutupan terbaru itu, jumlah institusi yang ditutup akibat jangkitan virus itu di Pulau Pinang sehingga kini adalah tujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh ketika dihubungi Bernama berkata kem itu diarah tutup pada pukul 12 tengah hari, dan 260 pelatihnya diminta pulang untuk dikuarantin di rumah masing-masing.

Terdahulu hari ini beliau mengumumkan penutupan Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal, Institut Latihan Jururawat Kementerian Kesihatan Bukit Mertajam dan Pusat Latihan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAB) selama seminggu bermula sejak semalam.

Dua hari lepas SJK(C) Aik Keow dan Politeknik Seberang Perai diarah tutup, manakala Rabu lepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh juga ditutup buat sementara atas sebab yang sama.

Phee seterusnya meminta mereka yang dijangkiti supaya berdisplin dalam menjalani kuarantin dan perlu mendapatkan rawatan jika suhu badan mereka melebihi 38 darjah celsius, disamping sentiasa mengambil berat soal kesihatan seerta kebersihan.

Sementara itu di MIRI, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua Miri diarah tutup selama seminggu mulai hari ini apabila seorang pelajarnya disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1).

Pembantu kanan sekolah berkenaan Albert Ong berkata arahan bertulis mengenai penutupan sekolah itu yang ditandatangani Pegawai Perubatan Bahagian Miri Dr Muhammad Rais Abdullah diterima hari ini.

Sekolah diarah tutup sehingga 3 Ogos, katanya.

Ong berkata sekolah itu mempunyai 2,480 pelajar dan 150 kakitangan.

Beliau seterusnya menasihatkan pelajar dan kakitangan sekolah terbabit menjalani kuarantin sendiri di rumah sepanjang tempoh itu bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Semalam, seorang pelajar lelaki dari sekolah itu dimasukkan ke Hospital Miri selepas dia mengalami selesema. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain