suria

Tiga kem PLKN tutup disyaki jangkitan H1N1

KUALA LUMPUR: Tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Tangkas Kendiri di Kuala Kangsar, Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka dan Kem Merang Suria, Setiu, Terengganu ditutup selama tujuh hari mulai hari ini berikutan terdapat tanda-tanda jangkitan demam influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dalam satu kenyataan hari ini berkata Kem Tangkas Kendiri menpunyai seramai 314 orang pelatih, manakala Kem Lagenda Gunung Ledang dan Kem Merang Suria masing-masing mempunyai 298 dan 292 pelatih.

Katanya, ibu bapa dan keluarga pelatih sedang dihubungi dan dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Pelatih-pelatih di kem berkenaan telah dihantar pulang dengan pengangkutan bas yang disediakan oleh Jabatan dan sebahagiannya dijemput oleh ibu bapa masing-masing," katanya.

Menurut Abdul Hadi, pelatih dikehendaki melapor semula di pusat berkumpul seperti yang telah dimaklumkan kepada para pelatih, kecuali mereka yang mendapat surat pengesahan daripada pegawai perubatan kerajaan.

Katanya, pelatih juga dikehendaki mematuhi segala arahan yang diberitahu pegawai perubatan di kem sebelum mereka pulang dan segera melaporkan diri ke klinik atau hospital berdekatan jika didapati sakit dan perlu memaklumkan keadaan mereka kepada kem masing-masing. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain