suria

Rosmah: Pendekatan Kempen Hari Pahlawan perlu diubah

KUALA LUMPUR: Pendekatan Kempen Hari Pahlawan yang diadakan setiap tahun, perlu diubah supaya tidak disinonimkan dengan program meminta derma atau sedekah, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau yang juga Penaung Kempen Hari Pahlawan 2009 berkata pendekatan kempen yang cenderung kepada aktiviti meminta derma menyebabkan masyarakat tidak mendapat mesej sebenar yang hendak disampaikan melalui kempen tersebut.

"Ini tidaklah bermakna yang saya menafikan bahawa kutipan sumbangan tidak penting bagi mengisi Tabung Hari Pahlawan, tetapi kemungkinan cara pendekatan kempen perlu diubah, sesuai dengan keadaan semasa," katanya semasa berucap melancarkan Kempen Hari Pahlawan 2009 di Angkasapuri di sini semalam.

Beliau berkata Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun adalah bagi mengingati perjuangan dan jasa pahlawan tanah air yang telah berkorban dan berbakti kepada negara.

"Oleh yang demikian, kerajaan komited untuk memastikan kebajikan bekas-bekas anggota tentera dan keluarga mereka tidak dilupakan atau tersisih dalam masyarakat lebihlebih lagi apabila mereka bersara daripada perkhidmatan tentera nanti," katanya.

Rosmah berkata pendekatan yang lebih progresif telah dijalankan bagi menjayakan Kempen Hari Pahlawan tahun ini, di samping mendapat kerjasama dan sokongan yang lebih mantap daripada kerajaan negeri.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan Konsert Patriotik Seri Pahlawan 1Malaysia dengan persembahan artis-artis seperti Datuk Ahmad Jais, Datuk Sheila Majid dan Faizal Tahir.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa bekas tentera serta balu-balu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain