suria

Mayat lelaki dengan dua kesan tetakan, putus tangan ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang penyelia sebuah kilang ditemui dengan dua kesan tetakan di bahagian belakang kepala serta putus pergelangan tangan kanannya, di belakang Stesen Minyak Esso, Sungai Chua, Kajang dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, N.Phanabalan, 31 yang bekerja di sebuah kilang industri di kawasan berhampiran ditemui kira-kira pukul 1 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Shakarudin Che Mood berkata tiada pergelutan berlaku di situ, dan polis percaya mangsa dikejar sebelum ditetak dari belakang lalu terjatuh dan tangan kanannya ditetak.

Polis turut menemui pergelangan tangan kanan yang putus bersama mangsa tetapi tidak menemui sebarang senjata, dan polis percaya mangsa dibunuh setengah jam sebelum mayatnya ditemui, katanya di sini hari ini.

Shakarudin juga berkata polis percaya mangsa yang lengkap berpakaian itu bukan mangsa samun, tetapi tidak menolak kemungkinan ada unsur dendam dalam kejadian itu.

Katanya punca sebenar pembunuhan itu masih disiasat dan polis akan mengambil kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu dalam masa terdekat untuk melihat sama ada kejadian itu dirakam.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain