suria

Industri batik dan tenunan akan ketinggalan guna kaedah tradisional

SHAH ALAM: Industri batik dan tenunan negara ini mungkin akan ketinggalan jika pengusaha tidak menggandingkan kaedah tradisional seperti seni lukisan tangan dan cetak blok dengan teknologi terkini yang dapat membantu pengeluarannya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata kaedah tradisional itu tidak dapat memenuhi pasaran pada masa kini dan pengusaha kraf tekstil perlu bertukar kepada sistem cetak yang jauh lebih pantas dan menguntungkan.

"Pengeluaran kraf batik dan tenunan secara tradisional sememangnya memakan masa yang lama serta guna tenaga yang banyak dan harganya pula agak mahal. Akibatnya, kedua-dua kraf tekstil tersebut menjadi tidak kompetitif dan sukar mendapat pasaran di luar negara," katanya ketika merasmikan Konvensyen Tekstil 2009 yang bertemakan 'Inovasi Batik, Songket dan Tenunan Kreatif Melalui Seni dan Sains' di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Konvensyen dua hari yang bermula hari ini adalah anjuran bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dan Fakulti Sains Gunaan, UiTM.

Matlamat konvensyen yang julung-julung kali diadakan itu adalah untuk membincangkan isu-isu berkenaan inovasi dan reka bentuk tekstil di negara ini.

Rosmah berkata keaslian sesuatu batik dan tenunan tidak akan hilang sepenuhnya dengan penggunaan teknologi canggih walaupun pembuatan kedua-dua kraf tekstil itu dengan tangan memberikan nilai estetik yang tinggi.

Beliau berkata industri batik dan tenunan negara masih berada pada tahap mikro atau industri kecilkecilan walaupun telah wujud dan berkembang sejak abad ke-19 lagi.

Katanya hampir 86 peratus daripada pengusaha batik dan tenunan negara masih beroperasi di bawah peringkat mikro walaupun industri itu mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua industri kraf tekstil itu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan nilai jualan iaitu sebanyak RM73 juta pada tahun 2007 berbanding RM61 juta pada 2004.

"Jumlah jualan ini adalah 29 peratus daripada nilai jualan produk kraf secara keseluruhannya. "Ini bermakna kraf tekstil tersebut mempunyai potensi yang amat baik dan seharusnya diberi perhatian supaya pengeluarannya dapat dipertingkatkan lagi," kata Rosmah yang menambah terdapat 1,897 pengusaha batik dan tenun di negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain